“Abang nak tahu impian Sayang
untuk para bidadari kita… Sayang impikan bidadari-bidadari kita belajar
setinggi mungkin agar ilmu memuliakannya di dunia dan di akhirat. Jika
dia ingin berkerjaya, biarlah kerjaya itu mempunyai masa yang anjal dan
mesra keluarga. Moga dengan ilmu dan kepakarannya, dia tidak perlu
mencari kerja sebaliknya kerja dan masyarakat yang memerlukannya hingga
dia dipanggil keluar berbakti kepada masyarakat. Dalam masa yang sama,
keluarganya terus menikmati banyak masa bersamanya, bahagia, terjaga dan
penuh cinta.”
“Alhamduluillah, tinggi impian Sayang. Moga tinggi juga usaha dan doa kita untuk mencapainya…:)”
Karier Wanita dalam Fiqih al-Qaradhawi
Dr Yusuf al-Qaradhawi ditanya:
“Apa
hukum wanita bekerja? Iaitu bekerja di luar rumah sebagaimana lelaki?
Bolehkah wanita berkerjaya? Bukankah kewajipan wanita berada di dalam
rumahnya?”
Syeikh al-Qaradhawi menjawab:
Allah Memberi Tanggung Jawab Kepada Manusia dengan Kerja (Amal)
Wanita adalah manusia
sebagaimana lelaki. Lelaki sebahagian daripada wanita dan wanita
sebahagian daripada lelaki. Sebagaimana firman Allah SWT, “Sebahagian
kamu adalah keturunan daripada sebahagian yang lain.” (Ali Imran: 195).
Allah menciptakan manusia untuk bekerja, bahkan Dia ingin tahu siapa
yang membuat kerja (amal) secara terbaik. “Dialah yang telah
mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan
menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik
amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun,
(bagi orang-orang yang bertaubat) “ (Surah al-Mulk, ayat 2).
Keperluan Ummah dan Dunia Kepada Tenaga Wanita
Wanita sebagaimana lelaki
dibebani untuk bekerja (amal). Dan kerja yang dilakukan dengan terbaik
akan memperolehi hasil terbaik. Firman Allah SWT, “Rab (Tuhan) mereka
memperkenankan (permohonan) mereka (dan Allah berfirman): “Aku (Allah)
tidak akan mempersiakan amalan orang yang beramal di kalangan kamu, baik
lelaki mahupun perempuan; sebahagian kamu berasal daripada sebahagian
yang lain.”
Wanita
sebagaimana yang dikatakan selalu adalah sebahagian daripada komuniti
manusia. Tidak boleh dibayangkan bagaimana Islam kehilangan sebahagian
dari komunitinya (jika semua wanita tidak berkerja), lalu dinyatakan
sebagai agama yang jumud dan stagnan (‘down’, terhenti, membosankan),
yang hanya mengambil dari kehidupan tetapi tidak memberi kepada
kehidupan, hanya mengkomsumsi (menjadi pengguna) akan tetapi tidak
berproduksi (menjadi pengeluar).
Fiqh Prioriti: Mendidik Generasi Adalah Kerja Utama Wanita
Pekerjaan wanita yang
pertama dan utama adalah mendidik para generasi. Allah SWT telah
menyiapkan jiwa dan fizikal wanita untuk melakukan tugas ini. Kerana
itu, sebaik-baiknya kita hendaklah tidak menyibukkan wanita dengan
kesibukan lain, sehingga memalingkan wanita dari tugas mulia ini. Tidak
seorangpun mampu menggantikan kedudukan wanita dalam tugas mulia ini. Di
tangannyalah bergantung kehidupan umat manusia.
Moga rahmat Allah tercurah kepada al-Hafiz Ibrahim yang telah bersyair:
Ibu adalah madrasah (sekolah), jika engkau mempersiapkannya
Beerti engkau telah mempersiapkan bangsa yang hebat dan kuat.
Pekerjaan
utama tersebut ialah tugasnya menguruskan rumah tangga, membantu
suaminya, membentuk keluarga bahagia yang tegak di atas kedamaian, kasih
sayang dan rahmat. Disebutkan dalam ssatu riwayat bahawa pekerjaan
terbaik wanita adalah menyiapkan keperluan suaminya untuk pergi
berjihad.
Hukum Mengharuskan Wanita Keluar Berkerja
Huraian di atas tidak
bermakna haram bagi wanita berkerja di luar rumah. Hukum haram hanya
boleh ditetapkan dengan nas sahih
dan jelas maknanya. Sebagaimana diketahui bahawa, setiap perkara adalah
boleh hukumnya kecuali ada dalil yang mengharamkannya.
Maka, pada dasarnya ‘boleh’ bagi wanita untuk berkarier. Dalam
keadaan-keadaan tertentu, ia boleh menjadi dianjurkan, atau bahkan
diwajibkan, jika memang terdesak dengan tuntutan hidup. Contohnya, janda
atau wanita yang ditalak dan dia tidak mempunyai hasil pendapatan,
sementara itu dia mempunyai kemahiran atau keahlian tertentu untuk
digunakan. Dalam konteks ini, bekerja dengan kemahiran atau keahliaannya
itu boleh menyelamatkannya daripada hidup meminta-minta.
Contoh Wanita Berkerjaya Dalam Al-Quran dan Hadis
Kadang kala, keluarga yang
memerlukan tenaga wanita berkerja, seperti membantu pekerjaan suaminya,
mendidik anaknya atau saudara perempuan yang masih kecil atau membantu
orang tuanya sebagaimana yang diceritakan dalam Surah al-Qashash tentang
dua anak gadis yang membantu orang tuanya yang sudah lanjut usia dalam
menggembalakan kambingnya.
Firman
Allah SWT, “Dan tatkala ia sampai di sumber air negeri Mad-yan ia
menjumpai di sana sekumpulan orang yang sedang meminumkan (ternaknya),
dan ia men- jumpai di belakang orang banyak itu, dua orang wanita yang
sedang menghambat (ternaknya). Musa berkata: “Apakah maksudmu (dengan
berbuat at begitu)?” kedua wanita itu menjawab: “Kami tidak dapat
meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan
(ternaknya), sedang bapak kami adalah orang tua yang Telah lanjut
umurnya”.
Riwayat
lain juga menyebutkan bahawa Asma’ binti Abu Bakar-pemilik dua ikat
pinggang (Dzatil Nitaqain)- berkerja membantu suaminya Zubair bin
al-Awwam dalam merawat kuda-kudanya, menggiling bijian lalu ditiriskan.
Asma’ membawa gilingan bijian-bijian tersebut dari kebunnya yang
jaraknya sangat jauh dari Kota Madinah.
Ummul
Mukminin, Zainab binti Jahsy mahir menyamak kulit, memintal serta
menenun kain sutera, hasilnya dijual di pasar dan disedekahkan. Itulah
kerjaya Zainab yang menguatkan sumber ekonominya hinggakan beliau
mempunyai keistimewaan sebagai seseorang yang banyak bersedekah. Lalu,
mendapat julukan ‘panjang tangan’ (bermaksud banyak bersedekah) oleh
Rasulullah SAW.
Keperluan Masyarakat Kepada Doktor Wanita, Jururawat, Guru Wanita dan Sebagainya
Kadang-kadang juga masyarakat sendiri yang memerlukan tenaga wanita
seperti doktor wanita, atau jururawat wanita atau guru wanita dan
pekerjaan seumpamanya yang secara khusus lebih mahir dikerjakan oleh
wanita. Paling ideal, wanita bekerja dengan kaum wanita, dan tidak
dengan kaum lelaki, kecuali kerana keperluan mendesak yang mengharuskan
wanita hadir dalam pekerjaan tersebut.
Syarat-syarat dan Batasan-batasan Wanita dalam Berkarier
1. Pekerjaan tersebut memang disyariatkan. Ertinya bukan pekerjaan haram atau membawa kepada perkara haram seperti:
a. Teman sosial kepada lelaki
b. Setiausaha
kepada pengarah yang memerlukannya duduk seruangan dengannya (biasanya
di pejabat-pejabat, S/U selalu berdua-duaan dengan pengarah. Saya kagumi
cara Syarikat Telaga Biru Sdn Bhd yang melantik setiausaha bagi
pengarah iaitu seorang wanita yang mempunyai pertalian darah).
c. Penari
d. Pelayan bar yang menyediakan minuman keras yang dilaknat oleh Rasulullah SAW penuangnya, pembawa dan penjualnya
e. Pramugari
yang memerlukannya sentiasa tersenyum menyambut penumpang atau sering
melakukan perjalanan jauh tanpa mahram, dan yang memerlukannya duduk
sendirian di negara orang lain.
f. Dan lain-lain pekerjaan yang diharamkan Islam bagi wanita apatah lagi pekerjaan yang diharamkan bagi lelaki dan wanita.
2.
Menjaga
adab wanita muslimah saat keluar rumah dengan menjaga cara berpakaian,
berjalan, berbicara, bahkan bergerak. Allah SWT berfirman, “Dan
katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara
kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup
dada (juyub
) dengan tudung kepala mereka (khimar);
3. Pekerjaan
itu tidak sampai melalaikan kewajipan utamanya, seperti kewajipan
mengurus suami dan anak-anaknya. Sebab itulah pekerjaan dan kewajipan
yang paling utama seorang wanita.
Saranan Al-Qaradhawi Buat Pemerintah
1. Pemerintah
hendaklah menyiapkan sesuatu berupa Undang-undang Tenaga Kerja dan
saranan pekerjaan bagi para wanita ketika keperluan mendesaknya berkerja
untuk dirinya, keluarganya atau masyarakatnya. Persiapan ini penting
dilakukan agar harga diri wanita tidak tergadai atau tidak mengacau
kewajiban rumah tangga.
2. Pemerintah
hendaklah membuat peraturan yang memudahkan peranan serta memudahkan
wanita ini, misalnya separuh kerja dengan separuh upah. Seperti kerja 3
hari dalam seminggu dan upah disesuaikan dengan hari kerjanya. Contoh
lainnya adalah seperti adanya undang-undang cuti menikah, melahirkan
atau peraturan khusus bagi ibu menyusu. (Alhamdulillah sebahagiannya
telah dinikmati oleh wanita di Malaysia).
3. Pemerintah
harus mempersiapkan sekolah agama, sekolah umum dan universiti khusus
untuk kaum wanita, sehingga kaum wanita mempunyai peluang berolah raga
dan melakukan aktiviti lain yang menyihatkan.
4.
Menyediakan
bahagian dan tempat khusus bagi wanita yang berkerja di pemerintahan,
yayasan, atau bank sehingga menghindarkan terjadinya fitnah, serta
fasiliti-fasiliti lain yang disesuaikan dengan keperluan
.
Kesimpulan Penulis (Fatimah Syarha).
Hormatilah wanita yang
memilih untuk berada di rumah. Mereka bukannya ketinggalan zaman
sebaliknya keluarga mereka lebih memerlukan mereka di situ.
Hormatilah juga wanita yang memilih untuk berkerjaya. Mereka bukannya
melakukan suatu dosa seolah-olah berkerjaya itu haram sebaliknya mereka
melakukan sesuatu yang harus.
Samada berada di rumah atau berkerjaya, masing-masing ada sebab dan
keperluannya yang tersendiri. Masing-masing ada peranan yang besar buat
diri, keluarga dan ummah. Asal saja tugas utama wanita iaitu mendidik
generasi terus terpelihara. Asal juga suami redha dengan pilihannya.
Berbincanglah.
Wanita yang
memilih untuk berada di rumah namun tidak berusaha memberi didikan
kepada anak-anaknya, akan gagal mencapai matlamat mendidik generasi.
Wanita yang memilih untuk berkerjaya namun tidak menyediakan pengurusan
yang terbaik untuk rumah tangganya, akan gagal juga mencapai matlamat.
4. Lebih menarik jika wanita boleh memilih suatu pekerjaan yang mempunyai masa anjal dan lebih mesra famili.